MAKIN MATANG
Posted on June 16, 2007 {6/16/2007 12:33:00 PM}

"Artis tempatan' kini jenama membanggakan, mampu diri sama tinggi dengan artis seberang

Oleh
Hanim Mohd Saleh

LAIN orang, lain pandangan. Ada yang kata Anugerah Planet Muzik (APM) 8 Jun lalu dan disiarkan di kaca TV tempatan malam tadi, merupakan yang terbaik berbanding sekurang-kurangnya tiga tahun lalu.

Namun, ada juga yang pulang kehampaan, terutama apabila jiwa patriotik mereka membakar jiwa, setelah menyedari segmen penyampaian anugerah untuk kategori Singapura tidak disiarkan untuk siaran langsung di televisyen negara jiran.

Namun saya mahu menilai APM anjuran MediaCorp Radio Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM di Stadium Tertutup Singapura daripada sudut berbeza, lebih daripada setakat majlis penyampaian anugerah.

Apa yang lebih dirasakan ialah kesan yang ditunjukkan artis-artis tempatan yang diketengahkan di pentas yang sama dengan artis Indonesia dan Malaysia. Bahkan untuk pertama kali, perkataan "artis tempatan' terasa seperti sebuah jenama yang dibanggakan.

APM kali ini memperlihatkan betapa artis tempatan kita sebenarnya kian matang, jauh berbeza berbanding enam tahun lalu.

Satu ketika, yang dinamakan artis Singapura seperti sinonim dengan "artis terpinggir' atau artis yang kelihatan kerdil jika berdiri di sebelah artis Indonesia dan Malaysia.

Melihat wajah-wajah tempatan memenuhi acara pembuka tirai yang menampilkan Mawar Berduri (penyanyi kumpulan rap Singapura, Ahli Fiqir) berduet dengan Altimet dalam lagu Sayang Sayang diiringi tarian Jawa persembahan Sriwana, seperti menyiapkan penonton untuk terus menegakkan duduk.

Cukup Melayu dan klasik.

Satu kesegaran berbanding tahun-tahun lalu yang lebih menonjolkan artis seberang.

Kemudian, gandingan Syed Azmir dan Taufik Batisah yang mantap dan memukau membuat penonton hampir terlupa untuk menyambut kemunculan Irwansyah, penyanyi lagu Aku Pencinta Wanita dari Indonesia.

Hady Mirza yang diberi penghormatan membawakan lagu Hijau sebagai menyambut kemunculan pemenang Anugerah Kemanusiaan Planet Muzik pertama, Zainal Abidin, seperti mengesahkan betapa Singapura memang mempunyai berlian yang berkilauan.

Bahkan, suara gemersik Hady mendorong teman seperjuangan dari Kuala Lumpur, Saodah Ismail, mengirim SMS kepada saya ketika menonton rakaman APM secara live yang disiarkan di Saluran Ria, Astro.

""Saya suka Hady Mirza. Suara baik. Ada personaliti. Menyenangkan hati. Taufik pun berbakat. Lebih baik daripada artis Malaysia,'' bunyi SMS itu.

Namun kejutan paling besar malam itu ialah kemunculan kumpulan rok metal tempatan, Malex, yang kesemua anggotanya berambut panjang.

Selama ini, Malex begitu sukar mendapat sokongan masyarakat kerana imej rok beratnya serta bunyian muzik yang begitu kuat. Tetapi pihak radio ternyata berani mengambil risiko mengetengahkan mereka sebagai wakil band Singapura.

Malex memperlihatkan kematangannya mengimbangi antara muzik kuat dengan jiwa rok yang cukup bersemangat. Mereka membuktikan kejantanan yang perlu ada pada pejuang muzik rok, bahkan kelihatan jauh lebih gagah berbanding band undangan daripada negara jiran.

Satu lagi segmen yang agak menyentuh hati saya ialah deklamasi sajak Bhoomi yang ditulis dan disampaikan sendiri oleh deejay Adi Rahman sebagai penghargaan kepada sumbangan Zainal Abidin.

Tersentuh bukan setakat isi dan penyampaiannya, tetapi secara tidak langsung membisikkan kepada penonton negara jiran bahawa Singapura tetap mempertahankan keindahan sastera Melayu di tengah industri hiburan yang kian rojak penggunaan bahasanya.

Tentu sekali Imran Ajmain yang memenangi Anugerah Bakat Baru Terbaik (Serantau) seperti mengesahkan semua tanggapan penulis tentang pencapaian memberangsangkan mengenai industri muzik tempatan. Bahkan Sleeq yang menyanyi di segmen prarakaman juga menunjukkan potensi yang besar.

Apa yang membezakan artis kita daripada artis negara jiran ialah keberanian kita menghasilkan muzik tersendiri tanpa ikut trend.

Jika di KL kini syarikat rakaman lebih menumpukan kepada penerbitan album kompilasi lagu-lagu 1980-an sehingga menyebabkan industri muzik tersendat, di sini artis Singapura terus meneroka dan mengukuh jati diri.

Memang selama ini banyak keluhan yang saya dengar tentang sukarnya sesetengah artis baru tempatan mendapat sokongan radio.

Namun jika semua bakat tempatan berani dan mahu menjadikan pencapaian Taufik, Imran dan pemenang lain APM sebagai kayu ukur menghasilkan mutu kerja seni yang cemerlang, tidak mustahil lagu-lagu ciptaan tempatan mampu kembali menguasai udara seperti tahun 1970-an dan 1980-an dulu.

Bahkan dengan semangat juang yang kian menebal di kalangan peminat terhadap bakat tempatan, APM tahun mendatang pasti dipenuhi penyokong tempatan, bukan hanya kerana mahu lihat Siti Nurhaliza atau Irwansyah.

Sumber dari: Berita Harian, 16hb June 2007