ALBUM RAYA TERBARU GABUNGKAN 21 ARTIS SETEMPAT
Posted on September 22, 2007 {9/22/2007 02:44:00 PM}

LAGU-LAGU Hari Raya nyanyian bakat tempatan nampaknya semakin bertambah tahun ini.

Terbaru, 21 artis solo dan berkumpulan bergabung untuk menghasilkan album berjudul Fitrah Hazir Lebaran 2007, yang dibuat dengan kerjasama tiga badan - EZS Music Productions, Beat Society dan Unit Pengurusan Artis (AMu) Mediacorp TV 12.

Artis yang diketengahkan dalam album ini termasuklah Hyrul Anwar, Fauzie Laily, Norfasarie, Tengku Aidil, Izzat (Shine), Wan Arshad, Khaszreal Alfi, Khairi Yusof, Lady E, Imran Ajmain, kumpulan Solihin, Sleeq dan kumpulan Merah.

Turut diundang ialah penyanyi dan guru vokal Ann Hussein.

Menurut Rahimah Shukor, pengarah EZS Music, album tersebut dijangka menarik perhatian kerana ia menawarkan pelbagai genre muzik yang setiap satu menyerlahkan kemampuan vokal dan gaya persembahan artisnya.

Contohnya, Fauzie Laily membawakan lagu Kembali Bergema yang berentak 1960-an, sementara Norfasarie membawakan lagu nasyid berjudul Gurindam Syahdu.

Kumpulan Solihin, yang sebelum ini popular sebagai kumpulan nasyid, dalam album itu membawakan lagu Joget Raya yang dicipta oleh anggota Solihin sendiri.

Hyrul Anwar pula membawakan lagu ciptaan Imran Ajmain dan Irfan Nazirul berjudul Keajaiban, sementara Ann membawakan lagu ciptaannya sendiri dengan lirik tulisan Saihan Asmo, Kenang Ibu Di Hari Mulia.

Majlis pelancaran album ini berlangsung di Taman Warisan Melayu hari ini dan esok, dari 5 hingga 6.30 petang.

Sumber dari Berita Harian, 22hb Sept 2007