Posted on
September 3, 2007
{9/03/2007 10:03:00 AM} |
|
Oleh Siti Nur Ida Mohamed Ali Penulis Sambilan ANAK didiknya yang berminat menimba pengetahuan tentang hip hop bukan saja terdiri daripada remaja. Buat julung-julung kalinya, penyanyi popular, Imran Ajmain, juga berdepan dengan kelas kanak-kanak sekecil lima tahun. Mereka ghairah mendengar dan berdendang dalam satu sesi kendalian Angkatan Karyawan Islam (AMP). Apabila disingkap pengalaman berkunjung dari sekolah ke sekolah berbekalkan suara dan muziknya, Imran yang turut menjadi mentor program pesta seni belia, Noise Singapore 2007, kendalian Majlis Seni Kebangsaan (NAC), tertawa mengenangkan ragam sesetengah 'pelajarnya'. 'Sewaktu saya baru sahaja memulakan program ke sekolah-sekolah, saya rasa pelajar itu bagaikan dipaksa menghadiri kelas saya. Mereka tampak tidak fokus dan berbual sesama mereka. 'Bising betul kelas tu macam di pasar hiruk-pikuknya. Namun, semenjak saya giat menyanyi dan muka pun kerap muncul di kaca televisyen, saya tidak perlu gunakan ketegasan sangat untuk berurusan dengan mereka. 'Secara semula jadi, mereka yang mengenali saya akan memberikan tumpuan. Mereka lebih candi, selesa dan tidak mendiamkan diri,' ujar Imran, 26 tahun. Sejauh ini, Imran yang dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2007, telah menjadi 'Cikgu Hip Hop' di beberapa sekolah seperti Boys' Town, Sekolah Menengah Pei Hwa, Sekolah Menengah Swiss Cottage dan Sekolah Menengah Northland. Beliau juga mengajar penulisan kreatif dalam bahasa Inggeris, bermula di Sekolah Menengah Unity. Baginya, peluang keemasan mendekati pelajar tidak akan disia-siakan. Tambahan pula, beliau mengambilnya sebagai ruang memperkaya bahasa. 'Ketika remaja dahulu, saya minat membaca buku dan majalah, membeli cakera padat, menonton filem dan juga menjadi penyokong acara muzik di Taman Belia Somerset. 'Dari situ, keinginan untuk melibatkan diri dalam media yang memupuk minat saya dalam bidang seni tercetus. 'Cuma, kalau diingat-ingatkan pengalaman lucu jadi 'Cikgu' ini, saya tidak akan lupa saat mengendalikan kelas penulisan kreatif dalam bahasa Melayu di Sekolah Menengah Tanjong Katong. 'Saya bergabung dengan Cikgu Karmin Abbas. Saya rancak berbual dalam bahasa Inggeris kerana dah biasa buat begitu. Tanpa saya sedari, Cikgu Karmin dah mula beliakkan mata! Maklumlah, saya sepatutnya menggalak pelajar berbahasa Melayu,' tambahnya. Kini, hasrat penyanyi yang 'meletup' namanya selepas lagu Sudah Tu Sudah ialah mendendangkan lagu-lagu bahasa Melayu sehingga popular di serata dunia. Imran juga yakin setiap yang dicita-citakan anak muda boleh dicapai asal sahaja mereka sanggup berusaha gigih. Akhir sekali, adakah Imran juga ada ucapan Hari Guru untuk sesiapa yang pernah bertakhta di hatinya sebagai pendidik yang dihormati? 'Tentunya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya di Sekolah Rendah Xinghua dan Sekolah Menengah Siglap, khususnya Cik Shirley Goh, yang menyuntik inspirasi dan terus-terusan memberi dorongan. 'Cik Goh amat saya sayangi hingga ke hari ini. Saya tidak akan melupakan jasa murninya!' kata Imran, sebelum mengakhiri wawancara. Sumber dari Berita Harian, 3hb Sept 2007 |
|