Lagu Raya baru 'power' dari penggubah muda
Posted on September 30, 2007 {9/30/2007 10:27:00 PM}

Oleh HANIM MOHD SALEH
hanim@sph.com.sg

Bukan senang untuk menghasilkan lagu Hari Raya yang boleh melekat di jiwa. Sebab itu tidak banyak lagu Hari Raya ciptaan zaman kini berjaya menawan pendengar sebagaimana lagu-lagu klasik malar segar seperti nyanyian Sanisah Huri, Ahmad Jais dan Saloma.

Tetapi membelek lagu-lagu baru yang termuat dalam album tempatan, Fitrah Hazir Lebaran 2007 yang dikeluarkan oleh EZS Music Production memberi satu kesegaran yang agak membuka mata terhadap ciptaan para penggubah tempatan.

Dalam album ini, termuat 12 trek lagu Hari Raya, dengan 11 daripadanya merupakan ciptaan terbaru oleh para penggubah tempatan. Hanya satu merupakan versi cover, iaitu Sepasang Kurung Biru yang dinyanyikan oleh perserta Anugerah 2007, Kaszreel Alfi, Wan Arshad dan Hairi Yusoff.

Saya paling tertarik terhadap lagu ciptaan Imran Ajmain berjudul Tidak Lama Lagi, yang digubah bersama dengan Imran Al-Nazirul.

Dengan muzik ala-tango dengan petikan talian biola sebagai bunyian utama, alunan suara Imran yang begitu merdu mampu membawa pendengar seperti sama-sama menari. Cuma satu saja: Lirik lagu ini bersifat universal -tidak menggambarkan perayaan Hari Raya.

Norfasarie yang agak lama tidak merakamkan album baru dan lebih tumpuan kepada lakonan televisyen, mengingatkan penulis kembali tentang bakat nyanyiannya menerusi lagu Gurindam Syahdu. Norfa cukup baik menjiwai lagu berirama asli dicampur keroncong ini. Tidak sangka pemuzik raggae Izzat Md Yusoff mampu menghasilkan lagu Melayu sebaik ini. Syabas!

Izzat sendiri, secara peribadi, menyumbangkan lagu bercorak raggae berjudul Raggae Rayaku di trek pertama album ini.

Lady E, rapper wanita tempatan, juga membuktikan bakatnya yang bukan sedikit menerusi lagu Bertemu Lagi ciptaan Aliff Abdullah dan Imran Ajmain

Satu lagi lagu yang pasti menarik perhatiaan ialah Kembali Bergema nyanyian Fauzie Laily yang berirama ala pop 1960-an. Cukup santai dan menenangkan.

Peminat rap remaja, Sleeq, juga pasti tidak kecewa dengan Jangan Sampai Terlambat -satu lagi lagu yang bersifat universal tetapi mempunyai nilai-nilai murni yang sesuai dengan suasana Hari Raya.

Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah Joget Raya oleh kumpulan Solihin, Keajaiban oleh Hryul Anuar, Melodi di Rayaku oleh Tengku Adil dan Kenang Ibu Di Hari Mulia oleh Ann Hussein.

Album ini ternyata mampu membangkitkan semula semangat industri muzik tempatan yang leibh berkualiti.

Sumber dari: Berita Minggu, 30hb Sept 2007